Derita perang

Shah Alam: Prihatin dengan nasib mangsa perang di Gaza dan Syria, Worldwide Holdings Berhad (WHB) menghulurkan sumbangan RM110,000 dalam bentuk wang tunai dan bantuan peralatan perubatan jenama VESTI.

Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah kempen Worldwide Prihatin, sumbangan berkenaan disalurkan untuk kegunaan mangsa perang yang berada di hospital serta kem pelarian di dua negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, sumbangan itu diharap mmberi sinar harapan bagi meneruskan kehidupan di samping dapat meringankan kesakitan kepada saudara Islam yang tercedera akibat peperangan.

SHAH ALAM 27 SEPTEMBER 2016. Pengerusi Worldwide Holdings Berhad Datuk Nordin Sulaiman (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad Datin Paduka Norazlina Zakaria (empat kanan) melancarkan tabung kemanusian aman palestin di Majlis Program Worldwide Holdings Prihatin Dekati Pelajar dan Masyarakat di Pusat Konvensyen Shah Alam. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

“Dalam usaha menyokong program bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, WHB akan berkolaborasi dengan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Aman Palestin Malaysia.

“Ia bagi membantu dalam usaha mengutip dana bagi misi kemanusiaan yang dianjurkan dengan meletakkan tabung kutipan dana di pejabat korporat, pejabat jualan, anak syarikat, tapak projek serta ruang pameran hartanah dan perkhidmatan WHB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Worldwide Prihatin dan penyampaian sumbangan kepada hospital, universiti, perpustakaan awam dan NGO di Shah Alam Convention Centre (SACC), di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi WHB Datuk Nordin Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut.

Katanya, selain itu, WHB melalui anak syarikatnya Worldwide Medivest Sdn Bhd (WMSB) turut menyumbang produk peranti perubatan VESTI kepada universiti tempatan melalui Fakulti Perubatan bernilai RM30,000 bagi tujuan latihan dan peningkatan kemahiran dalam mempelajari teknik jahitan pembedahan menutup luka kecil dan besar.

Dalam pada itu, pihaknya turut memberikan sumbangan peranti perubatan VESTI berkenaan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Hospital Serdang serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bernilai RM40,000.

“Sumbangan produk VESTI berkenaan secara tidak langsung memperkenalkan produk peranti perubatan buatan WMSB di pasaran untuk kegunaan di universiti dan hospital seluruh negara, malah sumbangan RM50,000 turut diberikan kepada Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) bagi menambahkan koleksi bahan bacaan di perpustakaan itu,” katanya.

Source