Majlis Penyerahan Lembu Korban Peringkat Negeri Selangor tahun 2015

SHAH ALAM – Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya mengagihkan lebih 1000 lembu kepada masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Selangor sempena Aidiladha kali ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata,  kesemua lembu itu bakal diagihkan ke setiap daerah, surau dan masjid di seluruh negeri.

“Pengorbanan bukan sahaja dilakukan pada Aidiladha bahkan juga ia perlu dilakukan sepanjang masa melibatkan usaha diri sendiri jika kita inginkan perubahan dalam Islam.

“Sempena Aidiladha ini, kita ambil ruang ibadat korban ini untuk kukuhkan ukhuwah serta menjaga keharmonian kaum di Selangor yang terkenal dengan masyarakatnya yang majmuk,” katanya ketika berucap pada majlis serahan lembu korban sumbangan kerajaan negeri sempena Aidiladha di pekarangan tempat letak kereta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), di sini.

Sumbangan lembu itu dibiayai anak syarikat kerajaan negeri, antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Worldwide Holdings (WHB) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan turut memberi perhatian terhadap maahad tahfiz yang uzur khususnya di kawasan pedalaman.

“Ia perlu dibangunkan dan memerlukan bantuan khusus, saya sudah arahkan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi untuk membangunkan blok-blok baru selain menaiktaraf serta membaik pulih kelas-kelas pengajian dan juga asrama pelajar.

“Kita juga berharap surau-surau di kampung tradisi dapat dibangunkan dengan reka bentuk yang bersesuaian melalui peruntukan kerajaan negeri,” katanya.

Source

Sumbangan Lembu Korban Peringkat Negeri Selangor 18.9.15