E-world lebih cekap, tanpa kertas

Seri Kembangan: Worldwide Holdings (Worldwide) membangunkan sistem elektronik dalam talian, E-world sebagai platfom pendaftaran, pemudahcara urusan rekod dan dokumentasi pengurusan alam sekitar serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sistem itu turut bertindak sebagai pangkalan data dan sumber rujukan untuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide, Datin Paduka Norazlina Zakaria, berkata sistem itu bagi menggantikan sistem manual yang menjalankan kerja pengurusan menggunakan kertas.

“Kaedah pendaftaran melalui E-world mudah dan mesra teknologi, boleh diakses dan dikemas kini menggunakan data internet rendah seperti pendaftaran melalui Whatsapp.

Pertingkat kecekapan

“Sistem ini berupaya mempertingkatkan kecekapan pengendalian urusan pendaftaran, data dapat disalurkan secara automatik untuk semakan, rujukan dan dianalisis pada bila-bila masa.

“Kita juga boleh jaga alam sekitar apabila tidak gunakan kertas borang, selain mempertingkatkan kelancaran urusan rekod bayaran dan pemantauan pengesan kenderaan untuk mempercepatkan masa penghantaran,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelenggaraan Pasca Penutupan Tiga Tapak Pelupusan Sanitari, Pelancaran Sistem Eworld dan Pelancaran Coffee Table Book Kejayaan Pelupusan Sanitari, di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Worldwide, Datuk Noordin Sulaiman.

Sementara itu, Norazlina berkata, pihaknya dilantik secara rasmi untuk melaksanakan kerja penambahbaikan pasca penutupan dan penyelenggaraan tiga tapak pelupusan sanitari untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini.

“Ia adalah Worldwide Landfills Park; Sungai Kembong, Hulu Langat dan Kubang Badak di Bestari Jaya. Pada masa depan, kekurangan tanah akan menyebabkan tapak pelupusan, mungkin bukan lagi sistem yang boleh menyelesaikan masalah pelupusan sampah,” katanya.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *