Lupus sisa pepejal lebih mencabar dalam tempoh PKP

KUALA SELANGOR – Ketika rakyat dikehendaki mematuhi arahan agar duduk di rumah dan mengurangkan pergerakan di luar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun masih ada insan lain yang masih meneruskan tugas seperti biasa.

Umum lebih maklum bahawa barisan hadapan seperti polis, tentera, doktor dan jururawat lebih dikenali sepanjang tempoh PKP kerana mereka berisiko tinggi dijangkiti wabak Cobid-19 kerana berurusan dengan orang ramai sepanjang tempoh PKP ini.

Sebenarnya, sektor pelupusan sisa pepejal juga merupakan salah satu daripada perkhidmatan asas yang tidak terjejas semasa tempoh PKP dilaksanakan yang kini memasuki fasa kedua sejak 1 April lalu.

Pekerja menolak sisa pepejal dengan menggunakan jentolak ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020
Pekerja menolak sisa pepejal dengan menggunakan jentolak ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

Salah satu operator utama sisa pepejal di Malaysia ialah sektor Alam Sekitar, Worldwide Holdings Berhad yang masih beroperasi seperti biasa di enam tapak di Selangor dan lima tapak di Johor bagi memastikan segala aktiviti pelupusan sisa domestik dapat diuruskan dengan sempurna.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria, bagi pelupusan sisa domestik di Selangor, pihaknya mengendalikan sebanyak enam tapak pelupusan sampah iaitu tiga tapak pelupusan sanitari dan tiga tapak pelupusan sisa lengai (industri).

“Dianggarkan sebanyak 8,000 tan sampah di mana hampir 90 peratus daripada jumlah buangan domestik yang dijana di Selangor adalah pengeluar sisa domestik terbesar di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Norazlina mendedahkan, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, penerimaan sampah yang dihantar ke semua tapak pelupusan di Selangor telah menurun dengan ketara, terutamanya di tapak pelupusan sisa lengai.

“Sebagai contoh, Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Kertas telah mencatatkan penurunan sebanyak 80 peratus kejatuhan sampah yang terkumpul, penurunan terbesar yang dicatatkan di semua 6 tapak pelupusan sampah.

“Impak pengurangan sampah tersebut sebahagian besarnya bagi kategori sisa pembinaan, komersial dan perindustrian.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 40 peratus penurunan sampah telah direkodkan yang dihantar ke semua tapak pelupusan di Selangor,” jelasnya.

Antara pekerja yang membuang sisa pepejal ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020
Antara pekerja yang membuang sisa pepejal ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

Bagi tapak pelupusan di Johor pula, pihaknya mengendalikan lima (5) tapak pelupusan sampah yang mula beroperasi sejak Jun 2019, dengan penerimaan pelupusan sampah sebanyak 15 peratus daripada sampah domestik.

“Sejak pelaksanaan PKP fasa pertama, penurunan sebanyak 30 peratus penerimaan pelupusan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan Johor direkodkan.

“Walaupun penerimaan sampah berkurangan, kami beroperasi sepenuhnya di kedua-dua negeri tersebut bagi memastikan perkhidmatan tidak tergendala.

“Ini termasuk tapak di Ladang CEP di Simpang Renggam di mana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dikuatkuasakan,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga daripada jangkitan Covid-19, Norazlina akan mewajibkan kakitangannya mengenakan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk memastikan keselamatan mereka ketika bertugas di tapak pelupusan sisa pepejal.

“Langkah ini bagi mengawal hubungan langsung dengan pengguna tapak pelupusan yang terdiri dari pemandu-pemandu lori yang terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19 ini.

“Kami juga menyediakan makanan untuk semua kakitangan yang bertugas di tapak bagi mengawal pergerakan dan seterusnya mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19,” katanya.

Topeng penutup mulut dan hidung turut kelihatan bersama sisa pepejal yang lain ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020
Topeng penutup mulut dan hidung turut kelihatan bersama sisa pepejal yang lain ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

Norazlina turut mengakui bertugas semasa tempoh PKP ini lebih mencabar daripada biasa kerana pihaknya menerima sampah domestik melibatkan sisa PPE.

“Sisa PPE orang awam ini seperti topeng muka dan sarung tangan adalah sangat berisiko serta dikhuatiri mengandungi wabak Covid-19.

“Justeru, kami menyarankan agar masyarakat umum lebih peka terhadap risiko penyebaran wabak Covid-19 kepada kakitangan pengendali kutipan dan pelupusan sampah.

“Sewajarnya orang ramai menggunakan bahan pencuci anti kuman untuk membersihkan sisa PPE sebelum dibuang ke dalam tong sampah sebelum dilupuskan di tapak pelupusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/04/03/lupus-sisa-pepejal-lebih-mencabar-dalam-tempoh-pkp-norazlina/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *