Satu sesi penyerahan sumbangan motor roda tiga melalui dana wakalah zakat Worldwide Holdings telah dianjurkan pada hari Khamis, 10 Mac 2022 kepada 5 usahawan asnaf yang terpilih. Selain wakil dari Worldwide Holdings, sesi yang diadakan di Rawang, Selangor ini turut dihadiri oleh YBrs. Tn. Mohd Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Pengurus Besar Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) serta para pegawai TERAS terlibat.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh wakil pihak Worldwide Holdings dan TERAS. Sebelum sesi tersebut berakhir, para hadirin terutamanya usahawan asnaf yang menerima sumbangan telah diberikan penerangan mengenai komponen motor roda tiga yang telah disesuaikan mengikut jenis perniagaan masing-masing.
Sumbangan motor roda tiga ini adalah merupakan inisiatif Worldwide Holdings dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan TERAS melalui wakalah zakat Worldwide Holdings bagi membantu para usahawan asnaf yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19. Sejumlah RM200,000.00 daripada keseluruhan jumlah sumbangan zakat oleh Worldwide Holdings telah diperuntukkan untuk tujuan ini dan bakal memberi manfaat kepada 10 usahawan asnaf untuk terus maju dalam bidang perniagaan.