Peluang miliki rumah serendah RM150,000

SHAH ALAM – Worldwide Holdings Berhad syarikat pemaju hartanah bakal melancarkan produk terbaru mereka iaitu rumah mampu milik di bawah inisiatif kerajaan negeri dikenali sebagai Projek Rumah Selangorku.

Pengurus Besar Hartanah Worldwide Holdings Berhad, Rosli Ismail berkata, projek tersebut akan dilancarkan esok, terletak di lokasi menarik iaitu di Seksyen U5, Subang Bestari, Shah Alam.

“Projek ini terletak di lokasi gabungan strategik di koridor Subang- Sungai Buloh dan projek pembangunan Kwasa Damansara dengan persekitaran menarik.

“Selain itu, harga kompetitif menjadikan Subang Bestari sebagai satu perbandaran semakin popular dan dikenali di Lembah Kelang,” katanya.

Jelasnya, Projek Rumah Selangorku dimajukan syarikat berkenaan menawarkan 388 unit kediaman mampu milik terdiri dua jenis apartmen 16 tingkat dikenali sebagai Seri Aduria dan Seri Musytari.

“Kedua-dua rumah ini terbahagi kepada dua jenis iaitu jenis C dan jenis D. Jenis C berkeluasan 800 kaki persegi dengan harga RM150,000, manakala jenis D pula berkeluasan 1,000 kaki persegi berharga RM220,000.

“Seri Aduria terletak di atas tanah berkeluasan 2.04 ekar merangkumi 220 unit rumah iaitu 122 unit jenis C dan 98 unit jenis D. Manakala Musytari terletak di atas tanah berkeluasan 1.97 ekar (0.80 hektar) mempunyai 168 unit rumah iaitu 118 unit jenis C dan 50 unit Jenis D dengan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air,” katanya.

Selain lokasi yang strategik, Rosli berkata, beberapa infrastruktur sedia ada seperti sekolah, lebuh raya utama, institusi pengajian tinggi dan sebagainya.

“Projek Rumah Selangorku Seri Aduria dan Seri Musytari ini, terletak di lokasi yang strategik dekat dengan lebuh raya Sprint, NKVE dan LDP.

“Selain itu, pembeli-pembeli rumah ini turut menikmati kemudahan di sekeliling pembangunan pesat seperti projek menaik taraf jalan baharu Lapangan Terbang Subang dan penempatan baharu kompleks Pejabat Daerah Petaling, pembukaan kawasan-kawasan baharu komersial serta institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dipelawa membeli rumah Selangorku bukan hanya disebabkan oleh harganya yang kompetitif, tetapi kedudukan strategik terletak berhampiran dengan dua rangkaian stesen MRT.

“Dua rangkaian stesen MRT ini menggabungkan Sungai Buloh- Kajang yang dijangka siap pada 2017 dan stesen MRT yang menghubungkan Sungai Buloh- Putrajaya yang kini di peringkat perancangan.

“Kedua-dua stesen ini hub pengangkutan awam terbesar dan bersebelahan dengan projek pembangunan Kwasa Damansara projek mega yang akan merancakkan pembangunan Subang Bestari,” katanya.

Mengulas lanjut, projek Seri Aduria dan Seri Musytari adalah projek rumah mampu milik ke lapan Worldwide Holdings Berhad.

“Sebelum ini di Subang Bestari kita telah bina sebanyak 1182 unit rumah mampu milik di kawasan tersebut. Perlu diingatkan projek kali ini adalah projek terakhir syarikat kami di Subang Bestari bagi kategori rumah mampu milik,” katanya.

Menurutnya, Subang Bestari merupakan pembangunan campur berkepadatan rendah di atas 202.34 hektar tanah di mukim Sungai Buloh.

image

“Jumlah produk hartanah yang telah dibina sepanjang 20 tahun adalah sebanyak 2,938 unit merangkumi rumah banglo dan semi D, rumah teres, pangsapuri serta unit komersial.

Rosli berkata, Worldwide Holdings Berhad mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam pembangunan hartanah di samping terlibat sebagai pemain utama dalam industri pengurusan alam sekitar, pelaburan hartanah, mempunyai kepentingan 25 peratus dalam penjana kuasa bebas (IPP) KLPP dan pembuatan peralatan peranti perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria menyeru golongan berpendapatan sederhana, belia, pasangan muda belum memiliki rumah hadir di majlis pelancaran dan pendaftaran Rumah Selangorku.

“Kalau kita lihat harga komersial unit rumah sama keluasan dengan rumah Selangorku dalam lingkungan RM500,000 hingga RM600,000. Ambil peluang ini,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan pelancaran dan pendaftaran rumah mampu milik Rumah Selangorku tepat pada masanya walaupun dalam keadaan suasana pasaran tidak menentu saya.

Norazlina berharap Bank Negara Malaysia melonggarkan syarat terhadap aspek peraturan memberi pinjaman perumahan kepada golongan berpendapatan sederhana.

Justeru beliau menjemput semua pihak hadir mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan projek rumah mampu milik Selangorku oleh Worldwide Holdings Berhad.