PIPP PEROLEH PEMBIAYAAN RM2.7B UNTUK PROJEK STESEN JANA KUASA 1,200 MW PULAU INDAH

Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd. (PIPP), syarikat usahasama di antara Worldwide Holdings Berhad dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO) memperoleh pembiayaan (Fresh Commodity Murabahah Term Financing-i Facility) sehingga RM2.7bilion berkaitan dengan pembangunan projek stesen jana kuasa 1,200 MW turbin gas di Pulau Indah, Selangor.

Majlis menandatangani perjanjian di antara PIPP, pembiaya-pembiaya projek iaitu Maybank Islamic Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan UOB Malaysia, dan penyelaras pembiayaan, Maybank Investment Bank Berhad telah disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dan TYT Lee Chi-Beom, Duta Besar Republik Korea.

Projek ini kini bersedia untuk masuk ke fasa pembinaan, yang dijangka bermula pada paruh kedua tahun 2021. Apabila memulakan operasi pada bulan Januari 2024, stesen jana kuasa ini dijangka akan menyokong keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat di Lembah Klang dan menampung bekalan beban asas tenaga di wilayah itu. Tenaga berkarbon rendah yang dihasilkan stesen jana kuasa ini akan disalurkan ke wilayah tengah semenanjung Malaysia, melibatkan daerah-daerah seperti Klang, Sepang dan Kuala Langat yang mempunyai permintaan tenaga elektrik yang tinggi.

Pengerusi Worldwide Holdings dan PIPP, Dato’ Nor Azmie Diron berkata, “Projek ini bakal menggunakan bahan canggih paling inovatif di dunia, penyejukan, aerodinamik, pembakaran, dan keupayaan digital yang akan mengurangkan kesan kepada alam sekitar. Stesen jana kuasa ini dijangka beroperasi dengan kecekapan bersih lebih daripada 62%, jauh lebih tinggi daripada stesen jana kuasa arang batu atau minyak yang setaraf dengannya.”

KEPCO, rakan usahama Worldwide Holdings bagi projek ini memiliki lebih dari 120 tahun kepakaran dan pengalaman dalam penyediaan bekalan tenaga elektrik di Korea Selatan. Syarikat ini ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tenaga Elektrik Korea untuk menyokong pembangunan, bekalan dan permintaan tenaga elektrik, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.