PKNS Meterai Perjanjian Jual Beli Tanah Bernilai RM139 Juta Dengan Worldwide

SHAH ALAM, 16 Dis (Bernama) — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini memeterai perjanjian jual beli tanah seluas 86.4 hektar di Seksyen 11, Kota Puteri dengan Worldwide Holdings Berhad bernilai RM139 juta.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Kota Puteri berdekatan pekan Ijok, dekat sini, merupakan sebuah lagi kawasan perbandaran baharu berkeluasan 809.4 hektar yang sedang dibangunkan PKNS.

Azlan berkata pihaknya optimis penjualan tanah tersebut kepada pemaju perumahan berpengalaman itu dapat merancakkan lagi pembangunan kediaman di kawasan berkenaan yang kini sedang giat dijalankan PKNS sejak 15 tahun lepas.

Menurutnya, kerjasama dengan Worldwide itu juga dilihat sebagai langkah terbaik berikutan pemaju tersebut mempunyai segmen pembelinya yang tersendiri.

“Worldwide mampu membawa masuk pelbagai segmen masyarakat untuk menarik minat mereka membeli rumah di kawasan ini berikutan Kota Puteri juga kini mudah diakses menerusi beberapa lebuh raya yang telah dibina.

“Setakat ini, rumah bertanah di Kota Puteri ini antara yang masih mampu dimiliki dalam lingkungan harga RM350,000 ke RM450,000,” katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian itu, di sini, Rabu.

Beliau berkata cadangan pembangunan di tanah tersebut dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion yang turut melibatkan pembinaan perumahan mampu milik sebanyak 1,400 unit oleh Worldwide.

Selain itu, katanya, pihaknya juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Norazlina berkata, Kota Puteri adalah kawasan terbaik untuk menjadi pilihan masyarakat yang ingin membuat pembelian kediaman jenis rumah bertanah.

Ini kerana, katanya, selain pelbagai jenis rumah kediaman mampu milik yang akan ditawarkan, syarikat itu juga merancang pembangunan bercirikan keanggunan moden yang dijangka dapat menarik minat golongan muda.




Source