SHAH ALAM – Sebanyak empat ekor lembu disumbangkan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, aktiviti korban ini telah dilaksanakan sejak tahun 2004 dan berlangsung hingga kini.
“Syukur Alhamdulillah, penyertaan untuk melakukan ibadah kali ini amat baik. Asalnya lapan ekor lembu akan ditumbangkan tetapi dikurangkan kepada empat ekor.
“Walaupun ramai staf yang bercuti namun komitmen mereka yang lain cukup dihargai,” katanya di majlis penyempurnaan ibadah korban dan makan sup daging korban sempena Hari Raya Aidiladha 1438H.
Jelas Norazlina, kesemua daging ini akan diagihkan kepada pekerja dan jiran terdekat di sekitar sini termasuk golongan asnaf dan anak yatim.
“Jika ada permintaan lagi, Insya-ALLAH besar kemungkinan kami akan tambah jumlah lembu untuk dikorban pada musim akan datang,” katanya.
Acara menyembelih lembu dimulakan seawal jam 8 pagi semalam di belakang bangunan Pangsapuri Baiduri dan seterusnya melapah di perkarangan ibu pejabat Worldwide Holdings di Seksyen 7, di sini.
Ia dilakukan secara bergotong-royong dari Kelab Sukan & Rekreasi (KSR) WHB dan Worldwide Landfills Sdn Bhd.
Terdahulu, Worldwide turut menyumbang sebanyak RM883,715 bagi pembelian 168 ekor lembu sempena Program Agihan Lembu Korban Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 2017.