Worldwide Holdings bantu asnaf melalui agihan zakat bernilai RM343,794

SHAH ALAM – Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memperuntukkan sejumlah RM343,794 secara keseluruhan untuk diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin di sekitar Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, peruntukan disalurkan menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui tiga inisiatif yang dirancang sebelum ini.

Menurut Norazlina, bagi inisiatif pertama, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan sebagai bantuan modal perniagaan dalam bentuk motosikal roda tiga, peralatan, perkakasan, latihan dan perbelanjaan.
“Bagi inisiatif kedua, sejumlah RM94,794 diperuntukkan bagi bantuan modal perniagaan manakala inisiatif ketiga pula meliputi peruntukan sebanyak RM50,000 untuk disalurkan buat penerima yang memerlukan bantuan peralatan perubatan seperti katil, kaki palsu dan sebagainya.

“Penerima agihan sumbangan ini dikenal pasti oleh LZS menerusi program ‘Kasihku Zakat Selangor’,” katanya selepas Majlis Penyampaian Agihan Zakat Worldwide Holdings yang berlangsung di Mercu Worldwide, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop dan Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Datuk Ibrahim Md Yusof.

Dalam pada itu, Norazlina berkata, krisis pandemik Covid-19 yang masih berterusan telah menjejaskan aktiviti perniagaan dan memperlahankan pelbagai sektor dalam negara ini.

“Disebabkan itu sumbangan oleh Worldwide Holdings ini diagihkan dan ia dijangka dapat memanfaatkan serta meringankan bebanan asnaf yang dikenal pasti,” katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, kerjasama antara LZS dan Worldwide Holdings merupakan satu usaha yang baik bagi memastikan setiap asnaf di negeri ini dapat disantuni.

Beliau berkata, dalam situasi pandemik Covid-19 ini, terdapat banyak pihak yang terkesan malah LZS turut menjangkakan tambahan 10,000 asnaf susulan krisis tersebut.

“Disebabkan itulah kita gerakkan Program Bantuan Alternatif Insan Terkesan untuk membantu mereka yang terkesan sewaktu Covid-19 ini keluar daripada kepompong kemiskinan dalam masa enam bulan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *