Worldwide Holdings Bhd Terima Tiga Anugerah SEBA2016, Pengiktirafan Bidang Perniagaan

SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) — Worldwide Holdings Bhd menerima tiga anugerah – Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Selangor 2016 (SEBA2016)- pada majlis anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), malam tadi.

Syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu menerima dua anugerah MasterClass bagi kategori Konglomerat-GLC Pelbagai dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), selain Anugerah Kecemerlangan dalam Industri Alam Sekitar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria ketika ditemui berkata anugerah tersebut menunjukkan perniagaan syarikat itu diiktiraf.

“Ini merupakan kali pertama Worldwide tercalon dalam SEBA2016 dan terus membawa pulang tiga anugerah. Kami amat gembira kerana hasil iltizam pasukannya dalam menjadikan syarikat itu sebagai ikon terbaik perniagaan, diiktiraf,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

 

seba-wrlwide-083

 

Menurut Norazlina, penganugerahan bagi kategori alam sekitar menunjukkan bahawa sebagai peneraju yang mengawal 87 peratus pelupusan sisa di Selangor, usaha syarikat itu menghasilkan idea-idea baharu memulihara alam, terutama dalam industri pemprosesan sampah menjadi sumber tenaga, sebagai berjaya.

Katanya kira-kira 6,000 tan sampah yang dihasilkan di Selangor setiap hari diselenggara pihaknya dan berikutan negeri itu semakin kekurangan kawasan pelupusan sampah, syarikat berkenaan terus berusaha meneroka cara baharu mengatasinya.

 

seba-wrlwide-086

 

Dalam pada itu katanya sebagai sebuah syarikat yang bertapak selama 26 tahun dalam perniagaan, Worldwide Holdings Bhd, sentiasa peka dalam mengintai peluang menceburi pelbagai bidang baharu selain meningkatkan potensi dalam bidang hartanah.

“Disebabkan industri perumahan kini bergerak sedikit perlahan, kami sedang cuba mendapatkan seberapa banyak projek yang boleh selain menyasarkan untuk memperoleh lebih banyak tanah yang dilihat mampu memberi kelebihan jangka panjang,” katanya.

Selain itu, Norazlina menyatakan usaha pihaknya dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat akan terus ditambah baik terutama dalam menyediakan jenis rumah mampu milik yang berkualiti kepada masyarakat.

Katanya pelaksanaan program CSR memberi impak besar kepada masyarakat yang merangkumi aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan sukan.

— BERNAMA