Worldwide Holdings Kekal Warga Korporat Prihatin

Oleh Nur Fadhliana Shaari

SHAH ALAM (Bernama) – Sektor korporat masa kini mengambil segala usaha bukan sahaja untuk mencari keuntungan tetapi juga untuk menambahbaik kesejahteraan masyarakat setempat dan dunia.

Sebagai sebuah syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings Berhad (WHB) yang telah beroperasi selama 26 tahun telah menetapkan matlamat untuk meningkatkan keuntungan di samping memberi penekanan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu masyarakat daripada aspek sosial, ekonomi, alam sekitar dan sukan.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan WHB bersama anak-anak syarikatnya di bawah inisiatif kempen ‘Worldwide Prihatin’ merentasi sempadan hingga ke peringkat antarabangsa.

Fokus utama program CSR dirangka mengikut keperluan ke arah pendidikan, sosial, alam sekitar, perlancongan sukan atau ‘sports tourism’ dan aktiviti yang berkaitan dengan sektor-sektor utama syarikat.

Di samping menjalankan tanggungjawab sosial sebagai syarikat Korporat yang prihatin, matlamat utama penganjuran program CSR ini juga diharap akan memberi impak yang besar terhadap aktiviti utama syarikat dalam pembangunan hartanah, pengurusan alam sekitar, pelaburan serta pembuatan dan pengeluaran peranti perubatan ‘Surgical Sutures’ bagi meningkatkan lagi penjenamaan korporat yang secara tidak langsung memberi faedah kepada pemegang saham.

SUMBANGAN BANTUAN PRODUK PERUBATAN

Di peringkat anak syarikat pula, Worldwide Medivest Sdn. Bhd. (WMSB) telah mengorak langkah yang lebih agresif dalam melaksanakan program CSR berkaitan dengan aktiviti utama mereka. Selaras dengan matlamat untuk mempromosi perkhidmatan dan produk.

WMSB yang baru beroperasi sejak 2013 telah mengambil inisiatif menyumbangkan produk-produk peranti perubatan ‘Sutures’ jenama VESTI yang digunakan untuk menjahit luka dalam prosedur pembedahan kepada hospital-hospital kerajaan, pusat perubatan swasta dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S).

Di peringkat hospital awam, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang adalah antara senarai hospital yang dikenalpasti menerima sumbangan produk ini.

Manakala di peringkat IPTA/S pula senarai yang terpilih untuk menerima produk perubatan VESTI ini adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti MAHSA dan Management Science University (MSU).

Sumbangan ini dijangka dapat membantu mereka yang menjalani rawatan pembedahan di hospital berkenaan selain memperkasa tahap pendidikan perubatan di negara ini.

Menurut Pengurus Besar Kanan Khidmat Sokongan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Azman Azizul Rahman, syarikat akan memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan perolehannya untuk program CSR itu.

Program CSR serampang dua mata ini secara tidak langsung akan dapat membantu memperkenalkan produk perubatan jenama VESTI untuk kegunaan di Universiti dan hospital di seluruh Malaysia.

Produk peranti perubatan VESTI ini berjaya dibawa ke Gaza untuk kegunaan mangsa peperangan di Palestin dan di Kemboja.

MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN BERIMPAK BESAR TEMPATAN DAN GLOBAL

Selain sumbangan peranti perubatan, Worldwide Holdings Bhd memberi sumbangan kewangan kepada Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) di Shah Alam bagi menambah koleksi buku di perpustakaan itu. WHB telah mendapatkan pengiktirafan daripada PPAS sebagai ‘Sahabat Korporat’.

Worldwide Holdings turut membiayai anak istimewa atau pelajar kurang upaya di sekolah-sekolah pendidikan khas khususnya di Subang Bestari dan pemberian Al-Quran Braile bagi insan yang cacat penglihatan.

Bantuan ini dibuat dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor serta badan – Badan sukarela (NGO) seperti Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

“Kami ingin membantu golongan kurang upaya berdikari dan diharapkan bantuan ini dapat menyuntik semangat cintakan ilmu dalam diri mereka,” tambah Ahmad Azman Azizul Rahman lagi.

Selain di Malaysia, naskah-naskah Al-Quran Braille diedarkan di negara rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Dalam usaha melahirkan ramai para hafazan WHB telah membuat sumbangan kepada penubuhan dana Tabung Pendidikan Tahfiz Diploma dan Ijazah Al-Quran dan Al Qiraat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Di peringkat antarabangsa pula, sebanyak 12,000 naskah buku pendidikan disumbangkan kepada masyarakat Champa Kemboja. Buku-buku itu diterjemahkan dalam bahasa Champa pada tahun 2009.

TURUT MEMBANTU DALAM ISU KEMANUSIAAN

Sementara itu, dalam isu-isu kemanusiaan WHB tidak ketinggalan memainkan peranan penting dengan bekerjasama dengan NGO-NGO yang diiktiraf berpengalaman seperti Islamic Relief Malaysia (IRM), Mercy Malaysia, Aman Palestin dan My CARE (dahulu dikenali sebagai Aqsa Syarif) menyampaikan sumbangan dalam bentuk kewangan dan produk perubatan kepada mangsa peperangan di Gaza, Palestin dan Syria.

Dalam usaha itu WHB mengambil langkah proaktif membantu mengutip dana dengan melancarkan tabung “GiveHope Gaza” dan ‘Save Syria Hour’ pada 27 Sept, 2016 lepas. Tabung-tabung itu disediakan dan ditempatkan di kawasan strategik khususnya di pejabat korporat, pejabat jualan, pejabat anak syarikat, tapak projek dan ruang pameran hartanah dan WMSB untuk mengutip sumbangan.

Pada majlis pelancaran tabung mengutip dana, WHB telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM110,000 dalam bentuk tunai dan sumbangan peralatan produk perubatan jenama VESTI dan ‘Wound Care’ untuk kegunaan di hospital dan kem pelarian di Gaza dan Syria.

Bantuan itu diharap dapat memberi sinar harapan bagi mangsa perang untuk meneruskan kehidupan di samping dapat meredakan kesakitan yang dialami saudara Islam yang tercedera akibat peperangan.

PENGURUSAN ALAM SEKITAR

WHB adalah syarikat perintis dan pengiat utama di Selangor dan Malaysia dalam industri pengurusan alam sekitar. WHB berjaya membuktikan kemampuan dalam mengendalikan tapak pelupusan sanitari dengan baik tanpa sebarang kemalangan di Selangor dengan teknologi dan kepakaran tempatan.

Sehingga kini WHB berjaya menguruskan 10 konsesi di Selangor dan satu projek di peringkat persekutuan.

Kejayaan besarnya ialah menguruskan tapak sanitari Air Hitam Puchong dengan baik sehingga ia ditukar guna dan dijadikan sebagai taman rekreasi Worldwide Landfills Park Air Hitam Puchong. Ini adalah bukti terbaik bagi operasi Pengurusan alam sekitar syarikat.

Taman seluas 70 hektar ini diwujudkan di atas bekas tapak pelupusan sisa pepejal yang telah menerima sebanyak enam juta lebih tan sisa domestik dari seluruh Lembah Klang pada satu ketika dahulu dan ditutup pada tahun 2007.

Di sini, masyarakat tempatan dapat melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal, bersenam, aktiviti kekeluargaan dan beristirehat di gazebo yang disediakan.

Tapak itu juga menjadi tempat atau model untuk pihak universiti-universiti membuat kajian dan penyelidikan berkaitan bidang pengurusan alam sekitar di mana terdapat sebuah loji janakuasa tenaga yang menggunakan gas metana untuk menjana tenaga elektrik dan sebuah loji rawatan larut resapan.

‘SPORTS TOURISM’

WHB juga menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha meningkatkan pembangunan sukan ‘Sports Tourism’, dengan penajaan acara sukan seperti golf dan bola sepak. Usaha itu selaras dengan matlamat melahirkan ramai pemain golf dan ahli sukan bertaraf profesional yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

————————————————————————

WORLDWIDE MEDIVEST SDN BHD

Worldwide Medivest Sdn Bhd (WMSB) adalah anak syarikat Worldwide Holdings Bhd (WHB) yang diperbadankan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 2010.

Menggunakan teknologi dan peralatan dari Jerman, kilang itu siap dibina pada tahun 2013. Ia terletak atas tanah seluas 2.2 hektar di Worldwide I – Zone @ Kapar Bestari dan dilengkapi dengan kemudahan canggih, termasuk bilik bersih yang memenuhi GMP Kelas A.

Kilang Medivest ini menghasilkan produk perubatan berjenama VESTI iaitu benang yang dikenali sebagai ‘Sutures’, yang digunakan untuk menjahit luka di tubuh manusia.

Kualiti benang jenama VESTI menyamai produk-produk antarabangsa berdasarkan maklumat balas positif daripada hospital yang menggunakan suture VESTI ini.

Sehingga kini produk jenama VESTI ini telah memasuki pasaran di sekitar Lembah Klang dan hampir kesemua negeri di Malaysia. Pada tahun hadapan pihak Medivest menyasarkan jenama VESTI itu akan menembusi pasaran Sabah dan Sarawak serta negara-negara ASEAN.

Worldwide Medivest bakal memperkenalkan perkhidmatan sterilisasi untuk produk-produk perubatan yang dihasilkan oleh kilang tempatan bagi menambahkan lagi pendapatan syarikat bermula suku ketiga tahun 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *