4 SEPT: Bagi menzahirkan rasa kesyukuran dan menyelami pengertian Aidiladha, sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan oleh Kumpulan Worldwide Holdings Berhad pada tahun ini.
Program yang diselaraskan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi syarikat berkenaan, diketuai oleh Timbalan Presiden, Ediwarman Mohd Taher dan disertai 28 kakitangan di Ibu Pejabat syarikat berkenaan di Shah Alam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata aktiviti ibadah korban sudah dilakukan secara tradisi sejak 14 tahun dahulu.
“Aktiviti sebegini dapat meningkatkan jalinan ukhwah sesama warga kerja.
“Manakala sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan pada tahun ini dimana sebanyak empat ekor digunakan untuk penyempurnaan ibadah korban manakala empat ekor lagi disumbangkan kepada pihak MBI untuk tujuan agihan kepada asnaf fakir miskin dikawasan sekitar dan ditapak-tapak projek,” katanya.
Terdahulu, Worldwide Holdings turut menyumbang sebanyak RM883,715 bagi pembelian 168 ekor lembu sempena Program Agihan Lembu Korban Peringkat Selangor bagi tahun ini.