WORLDWIDE HOLDINGS MENANG ANUGERAH OSH 2022

Petaling Jaya, 21 Disember 2022 – Worldwide Holdings Berhad telah memenangi Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Peringkat Kebangsaan 2022 di bawah kategori Sektor Pembinaan dan Kejuruteraan. Anugerah telah diterima oleh Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Worldwide Holdings, Hamyzar Toha pada hari ini di Majlis Anugerah OSH ke-40 yang diadakan di Sunway Resort & Spa.

Majlis penganugerahan ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Negara Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (MSOSH) bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada organisasi-organisasi daripada pelbagai sektor industri yang mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang dalam melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Worldwide Holdings terpilih sebagai penerima anugerah Gold Class 2 yang bersamaan dengan prestasi OSH yang sangat baik, sebagai pengiktirafan kepada prestasi cemerlang syarikat dalam pengurusan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, terutamanya di tapak-tapak pembangunan projek yang diterajui syarikat konglomerat itu dalam empat sektor perniagaan utamanya iaitu Hartanah, Pengurusan Alam Sekitar, Peranti Perubatan dan Tenaga.

Anugerah berprestij yang diterima oleh Worldwide Holdings adalah hasil daripada perlaksanaan proses sesi Audit Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di seluruh Malaysia oleh panel penilai professional yang telah dilantik oleh MSOSH. Secara keseluruhan, Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan terbahagi kepada tiga puluh dua (32) kategori dengan dua puluh sembilan (29) kategori adalah pengiktirafan organisasi dan tiga (3) kategori pengiktirafan individu.

Menurut Hamyzar, “Kami berbangga dan berterima kasih kepada MSOSH untuk pengiktirafan dan penghargaan ini. Sebagai anak syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab, aspek Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) di tempat kerja adalah amat penting kepada Worldwide Holdings bagi memelihara kepentingan dan kelestarian perniagaan, para pekerja, persekitaran, serta komuniti di kawasan operasi kami yang merupakan keutamaan pihak syarikat.”

Pemilihan Worldwide Holdings sebagai penerima anugerah tersebut telah mengukuhkan lagi reputasi syarikat itu yang memiliki pengalaman luas dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan, susulan pemilihannya sebagai penerima Anugerah Penarafan Bintang bagi Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal dalam kategori Pengurusan Fasiliti Terbaik daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada awal bulan ini, dan pengiktirafan tinggi QLASSIC oleh CIDB Malaysia yang diterima pada Oktober lalu bagi kategori projek perumahan awam menerusi pembangunan Pangsapuri Seri Musytari. Prestasi memberangsangkan Worldwide Holdings untuk tahun ini bukan sahaja diperakui oleh badanbadan industri berkaitan sektor-sektor perniagaan, malahan turut menerima pengiktirafan dalam pengurusan sumber manusia dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), antaranya, Anugerah Majikan Terbaik Asia (Malaysia) dan Anugerah Transformasi Digital 2022 daripada HR Asia, Anugerah Majikan Terbaik (Wilayah Tengah) daripada pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta Anugerah Rakan Strategik Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2022 anjuran LZS.

Leave a Reply

Your email address will not be published.