Worldwide Holdings naik taraf Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena

img_0114SHAH ALAM, 29 MAC: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) hari ini menjalinkan usahasama melalui Perjanjian Pengoperasian dengan Majlis Daerah Sabak Bernam.

Ia bagi menaiktaraf dan memulihara Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena, Sabak Bernam, Selangor yang sebelum ini beroperasi secara terbuka.

 

Melalui kerjasama tersebut, Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena, Sabak Bernam kini dinaiktaraf akan menjadi sebuah tapak pelupusan yang beroperasi secara sanitari di bawah pengurusan alam sekitar secara sistematik termasuk membuat rawatan ‘leachate’ di tapak pelupusan tersebut.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria dan Yang DiPertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Azlinda Azman.

Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena, Sabak Bernam yang berkeluasan 25 ekar milik Kerajaan Negeri Selangor dijangka akan menerima 60 tan sisa pepejal sehari melibatkan kawasan di Majlis Daerah Sabak Bernam.

Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata Perjanjian Pengoperasian kerjasama secara konsesi dalam tempoh 10 tahun akan melibatkan kerja-kerja pengoperasian tapak pelupusan yang menggunakan teknologi tempatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa, melalui Perjanjian ini juga secara tidak langsung dapat memberi impak yang besar kepada persekitaran amnya dan warga penduduk Sabak Bernam khasnya.

Ia supaya tiada lagi masalah pencemaran alam termasuk mengeluarkan bau busuk dan pembakaran terbuka hasil dari pelupusan sampah yang tidak selamat.

Worldwide Holdings yakin dengan kepakaran yang ada mampu memberi ruang kepada Kerajaan negeri amnya dan Majlis Daerah Sabak Bernam khasnya demi menjaga dan memulihara alam sekitar di Negeri Selangor.

Hadir sama, Ahmad Azman Azizul Rahman, Pengurus Besar Kanan Khidmat Sokongan Worldwide Holdings Bhd. dan Pengurus Besar Bahagian Alam Sekitar, Worldwide Holdings Bhd. Zamri Abdul Rahman.