WORLDWIDE HOLDINGS RANGKUL ANUGERAH QLASSIC 2022 MENERUSI PROJEK RUMAH SELANGORKU SERI MUSYTARI

Kuala Lumpur, 20 Oktober 2022 – Worldwide Holdings Berhad (WHB) sekali lagi muncul sebagai antara penerima anugerah QLASSIC di acara tahunan Anugerah QLASSIC 2022 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia bersempena Hari Safety & Health, Environment and Quality (SHEQ DAY 2022).

WHB merangkul anugerah tersebut berikutan pengiktirafan tinggi QLASSIC yang diterima bagi kategori projek perumahan awam menerusi pembangunan Pangsapuri Seri Musytari yang disempurnakan pada 2021. Anugerah telah disampaikan kepada wakil-wakil dari WHB selaku pemaju, Crest Builder Sdn Bhd selaku kontraktor dan Z&SR Architectural Ventures Sdn Bhd selaku arkitek.

Skop projek Pangsapuri Seri Musytari melibatkan pembangunan 168 unit pangsapuri Rumah Selangorku (118 unit jenis C dan 50 unit jenis D) di atas tanah seluas 2 ekar di Subang Bestari, Selangor. Sebelum ini, beberapa projek terdahulu yang dibangunkan oleh bahagian hartanah kumpulan syarikat WHB, Worldwide Property iaitu Amber, Ametis dan Azalea turut mendapat pengiktirafan tinggi QLASSIC.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, “Kejayaan WHB merangkul anugerah QLASSIC sekali lagi adalah bukti komitmen WHB kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, terutamanya di sekitar Selangor, tidak kiralah sama ada projek tersebut dibangunkan bagi memenuhi agenda kerajaan seperti skim Rumah Selangorku, ataupun untuk pasaran bebas. Selain menyokong visi syarikat menjadi konglomerat terkemuka menerusi produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, boleh dipercayai serta efektif dari segi kos, pencapaian cemerlang WHB dalam kategori ini juga adalah selari dengan aspirasi CIDB Malaysia ke arah menjadikan kediaman mampu milik lebih berkualiti tinggi semenjak penilaian QLASSIC diwajibkan bagi semua projek perumahan awam dan swasta di Malaysia bermula 2020. ”

Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) adalah sistem atau kaedah untuk mengukur dan menilai kualiti mutu kerja pembinaan bangunan berdasarkan Standard Industri Pembinaan (CIS 7:2014). QLASSIC membolehkan kualiti kerja antara projek pembinaan dapat dibandingkan secara objektif melalui sistem pemarkahan.

Menerusi pemantauan CIDB Malaysia, penilaian QLASSIC dijalankan melalui pemeriksaan tapak pembinaan dan berdasarkan prinsip pemeriksaan kali pertama. Kerja-kerja pembetulan yang dijalankan selepas penilaian tidak akan dinilai semula. Objektif prinsip ini adalah untuk menggalakkan kontraktor melakukan kerja yang sempurna pada setiap masa.

Worldwide Property kini sedang membangunkan beberapa projek hartanah baharu di sekitar Selangor seperti Daunan Worldwide dan Puncak Bestari di Puncak Alam, dan Cyber Valley di Cyberjaya. Maklumat lanjut mengenai produk-produk terbaru Worldwide Property boleh didapati di laman sesawang worldwideproperty.com.my.

Sumber:

BERNAMA – Worldwide Holdings rangkul Anugerah Qlassic 2022 menerusi projek Rumah Selangorku Seri Musytari

Public housing project from Worldwide Holding wins QLASSIC award (nst.com.my)

Leave a Reply

Your email address will not be published.