WORLDWIDE HOLDINGS TERIMA ANUGERAH PENARAFAN BINTANG KEMUDAHAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL 2022

Shah Alam, 7 Disember 2022 – Worldwide Holdings Berhad telah terpilih sebagai penerima Anugerah Penarafan Bintang bagi Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal dalam kategori Pengurusan Fasiliti Terbaik daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Malam Apresiasi Keluarga 3R sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Tahun 2022 pada 3 Disember lalu.

Anugerah ini adalah bagi memberi penarafan dan pengiktiran kepada Worldwide Holdings yang telah mempamerkan prestasi cemerlang bagi pengurusan pengoperasian Loji Rawatan Air Larut Resap (LTP) di Ladang CEP, Simpang Renggam, Johor. Anugerah telah diterima oleh Nor Haszma Mohd Hashim, Ketua Operasi Tapak Pelupusan Sisa, bahagian yang menerajui penglibatan Worldwide Holdings dalam perniagaan berkaitan sektor pengurusan sisa.

Pemilihan Worldwide Holdings sebagai penerima anugerah tersebut adalah susulan proses penilaian yang dilaksanakan di 37 kemudahan PSP di bawah seliaan SWCorp yang merangkumi tapak pelupusan sanitari, tapak pelupusan terbuka, loji rawatan air larut resap, stesen permindahan dan insinerator. Sebanyak 23 sektor komersial, perindustrian dan keinstitusian (CII) telah menerima penarafan dan pengiktirafan dalam amalan terbaik pengurusan sisa pepejal daripada keseluruhan penyertaan sebanyak 250 sektor CII di majlis tersebut.

Menurut Nor Haszma, “Worldwide Holdings yang memiliki kepakaran lebih 25 tahun dalam pengurusan Loji Rawatan Air Larut Resap (LTP) telah dipilih sebagai operator LTP di Ladang CEP bagi membantu pihak kerajaan negeri Johor menyelesaikan isu pencemaran sungai yang berpunca dari tumpahan air larut resap (leachate), susulan penutupan operasi Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP di Simpang Renggam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 26 Mac 2019,”

“Jadi, anugerah dari pihak SWCorp ini sangat bermakna buat Worldwide Holdings kerana selain daripada mengiktiraf kepakaran kami dalam pengurusan (LTP), ia turut menghargai usaha dan inisiatif Worldwide Holdings dalam amalan pengurusan sisa pepejal terbaik serta penglibatan aktif pihak syarikat bagi memastikan kelestarian alam sekitar,” tambah Nor Haszma lagi.

Prestasi cemerlang Worldwide Holdings untuk tahun 2022 bukan sahaja diiktiraf oleh badanbadan industri berkaitan sektor-sektor perniagaan syarikat, malahan Worldwide Holdings turut menerima pengiktirafan bagi pengurusan sumber manusia dan penglibatan pihak syarikat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR). Selain anugerah daripada SWCorp, minggu ini juga menyaksikan Worldwide Holdings menerima Anugerah Rakan Strategik Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2022 anjuran LZS bagi menghargai sumbangan, usaha dan penglibatan aktif syarikat dalam pemerkasaan golongan asnaf di negeri Selangor. Worldwide juga turut terpilih sebagai antara penerima Anugerah Majikan Terbaik bagi tahun 2021 di Majlis Penghargaan Majikan KWSP Wilayah Tengah Tahun 2022 oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengiktiraf komitmen Worldwide Holdings di dalam semua urusan berkaitan KWSP.

Sumber:

BERNAMA – Worldwide Holdings terima Anugerah Taraf Bintang Pengurusan Sisa Pepejal

Cemerlang urus sisa pepejal, Worldwide Holdings terima anugerah bintang SWCorp – Selangorkini

Worldwide Holdings cemerlang urus sisa pepejal, terima Anugerah Bintang SWCorp – YouTube

Leave a Reply

Your email address will not be published.