Worldwide Serah Sumbangan RM500,000 Kepada Yayasan Raja Muda Selangor

SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) — Worldwide Holdings Bhd hari ini menyerahkan sumbangan RM500,000 kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) sempena kejohanan Golf Jemputan Raja Muda Worldwide Holdings Selangor 2016 di sini.

Sumbangan berupa cek itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datin Paduka Norazlina Zakaria kepada pengerusi pemegang tabung amanah YRMS, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, pada majlis penyampaian hadiah kejohanan di Kelab Golf & Country Glenmarie di sini.

golf-001
Penyampaian sumbangan itu disaksikan sendiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Kejohanan golf jemputan itu pertama kali diperkenalkan tahun lepas bagi menggantikan kejohanan Golf Selangor Masters bermula dari 2008 hingga 2014, bertujuan mencari dana dan sumbangan daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan korporat, swasta serta individu.

Norazlina berkata penajaan tahun kedua syarikat berkenaan bagi kejohanan itu dilihat sebagai penghargaan oleh kerajaan Selangor selaku penganjur, dalam menggalakkan kegiatan sukan bertaraf antarabangsa di negeri itu.

“Ia turut membuka peluang kepada Worldwide Holdings untuk lebih dikenali bukan sahaja sebagai pemaju hartanah, pengurusan alam sekitar dan perintis pengeluar peranti perubatan, malah sebagai syarikat prihatin ke arah pembangunan sukan berprestij di Selangor,” katanya kepada pemberita di sini hari Sabtu.

Sementara itu, Arshad berkata YRMS menghargai sumbangan tahunan daripada kutipan dana kejohanan itu dan ia akan digunakan bagi menggerakkan pelbagai aktiviti atau program dirancang yayasan berkenaan demi manfaat rakyat Selangor.

Golf Jemputan Raja Muda Worldwide Holdings Selangor 2016 yang disertai 144 peserta itu berjaya mengumpul dana berjumlah RM1 juta daripada 25 penajaan.