Anak Syarikat kerajaan Selangor, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) menyalurkan sumbangan berupa peralatan perlindungan peribadi (PPE) bernilai RM300,000 kepada petugas barisan hadapan untuk mengekang penularan koronavirus (Covid-19) di negeri itu.
Sumbangan yang terdiri daripada topeng muka dan cecair pembasmi kuman itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk diedarkan kepada pelbagai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di sekitar Selangor.
Sumbangan sama turut diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di Daerah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Norazlina Zakaria berkata, sumbangan merupakan inisiatif pihaknya untuk membantu petugas barisan hadapan negara memerangi pandemik berkenaan.
“Kepada semua barisan hadapan, kami amat berterima kasih atas dedikasi dan pengorbanan yang telah dilakukan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya akan terus menyokong penglibatan hospital dan pasukan barisan hadapan lain secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang.
Terdahulu, Worldwide Holdings turut menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM100,000 kepada Tabung Covid-19 Selangor bagi menyokong inisiatif kerajaan negeri menggempur virus berkenaan.
Sumbangan berupa kelengkapan penuh PPE seperti pelindung badan, penutup kepala dan kasut, gaun perlindungan, pelindung dan topeng muka serta pembasmi kuman itu telah disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh di Selangor awal bulan ini.
Sumber: https://www.bisnessinar.com/worldwide-sumbang-ppe-bernilai-rm300000/