Worldwide Sumbang RM400,000 Untuk Tabung Amanah Yayasan Raja Muda Selangor

SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) — Yayasan Raja Muda Selangor hari ini menerima sumbangan sebanyak RM400,000 daripada syarikat Worldwide Holdings Bhd sempena kejohanan Golf Jemputan Raja Muda Worldwide Holdings Selangor 2015 di sini hari ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyampaikan cek sumbang berkenaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis penyampaian hadiah kejohanan di Kelab Golf & Country Glenmarie di sini.

Hadir sama pengerusi pemegang tabung amanah yayasan berkenaan, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Kejohanan sehari itu menyaksikan juara keseluruhan dimenangi Salim Saein yang menerima wang tunai RM2,500 berserta trofi.

Kejohanan golf jemputan itu pertama kali diperkenalkan pada tahun ini bagi menggantikan kejohanan Golf Selangor Masters yang bermula dari 2008 hingga 2014.

Penganjurannya bertujuan mencari dana dan mendapatkan sumbangan daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan korporat, swasta dan individu.

Melalui kutipan dana ini secara tidak langsung dapat menggerakkan aktiviti atau program yang telah dirancang untuk meningkatkan jaringan kerja di antara syarikat korporat dan kerajaan negeri Selangor.

Golf Jemputan Raja Muda Worldwide Holdings Selangor yang disertai 144 peserta itu telah berjaya mengumpul dana berjumlah kira-kira RM1 juta daripada 20 penajaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *