18 Jan 2024

WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD SALUR SUMBANGAN BARANGAN PERUBATAN KE GAZA


SHAH ALAM, 26 Oktober 2023 – Worldwide Holdings Berhad (WHB), sebuah syarikat konglomerat di bawah Kerajaan Negeri Selangor, menyumbang bekalan barangan perubatan dalam usaha menyokong usaha kemanusiaan di Gaza hari ini. Barangan perubatan yang disumbang WHB adalah merupakan produk jenama Vesti, benang jahitan perubatan yang dikeluarkan oleh sektor perniagaan perubatan syarikat itu sendiri, bernilai RM40,000.00.


Sumbangan WHB ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat terhadap usaha kemanusiaan global. Sumbangan akan disalurkan melalui Kementerian Luar Negeri bagi memenuhi keperluan kritikal untuk bekalan perubatan di Gaza berikutan konflik yang berterusan di sana.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria, “Kami amat prihatin dengan situasi semasa yang berlaku di Gaza. Sumbangan perubatan ini diharap dapat memenuhi keperluan kecemasan yang dihadapi oleh mereka yang terjejas di Gaza, selain meringankan penderitaan rakyat Palestin dalam masa yang mencabar ini.”


WHB yang merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kekal komited terhadap tanggungjawab sosial korporatnya bagi mereka yang memerlukan di peringkat tempatan serta global. Untuk maklumat lanjut mengenai WHB dan inisiatifnya, sila layari worldwide.com.my.