Worldwide Holdings Berhad Worldwide Property Worldwide Environment Worldwide Medical Worldwide Energy

22 Jan 2024

WORLDWIDE HOLDINGS TERIMA ANUGERAH EMAS MAJIKAN PILIHAN MIHRM 2023


Subang Jaya, 8 Disember 2023 – Worldwide Holdings Berhad telah terpilih sebagai penerima Anugerah Emas bagi kategori Majikan Pilihan (Sektor Swasta) oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) pada Majlis Makan Malam Anugerah HR Antarabangsa Malaysia ke-23 tahun 2023. Majlis yang diadakan di Hotel Dorsett Grand Subang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud selaku tetamu kehormat.


Mewakili Worldwide Holdings, Pengurus Kanan Sumber Manusia, Encik Jefreesyafrizal Ibrahim telah menerima anugerah tersebut yang mengiktiraf prestasi cemerlang anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dalam bidang pengurusan dan pembangunan sumber manusia.


Menurut Jefreesyafrizal “Seluruh warga kerja Worldwide Holdings amat berbangga dan bersyukur dengan pencapaian ini yang menunjukkan bahawa pihak syarikat telah berjaya mencipta budaya kerja yang kondusif, inklusif dan inovatif. Anugerah ini pastinya akan mendorong pihak kami untuk kekal komited kepada usaha pembangunan sumber manusia yang berterusan bagi menyokong syarikat mencapai tahap produktiviti dan pendapatan yang tinggi.”


Pencapaian cemerlang Worldwide Holdings dibuktikan menerusi strategi sumber manusia yang selaras dengan matlamat perniagaan, selain pencapaian dalam aspek pengurusan bakat, pembangunan kepimpinan dan pengurusan prestasi, serta perlaksanaan polisi, budaya dan sistem kerja pengurusan sumber manusia yang dinamik dan progresif.


Pada tahun lalu, Worldwide Holdings telah menerima pengiktirafan dari HR Asia menerusi Anugerah Majikan Terbaik Asia 2022 (Malaysia) dan Anugerah Transformasi Digital HR Asia 2022. Selain itu, Worldwide juga turut terpilih sebagai antara penerima Anugerah Majikan Terbaik di Majlis Penghargaan Majikan KWSP Wilayah Tengah Tahun 2022 oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengiktiraf komitmen Worldwide Holdings di dalam semua urusan berkaitan KWSP.