Worldwide Holdings Berhad Worldwide Property Worldwide Environment Worldwide Medical Worldwide Energy

31 Mar 2023

WORLDWIDE HOLDINGS TUNAI BAYARAN ZAKAT 2023 BERJUMLAH RM2.9 JUTA


SHAH ALAM, 24 Mac 2023 - Worldwide Holdings Berhad (“Worldwide Holdings”), sebuah syarikat konglomerat di bawah kerajaan negeri Selangor, telah menyempurnakan tanggungjawab membayar zakat perniagaan berjumlah RM2,894,100.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun 2023 haul 2022. Acara penyerahan bayaran zakat telah disempurnakan oleh Datin Paduka Norazlina Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings kepada DYMM Sultan Selangor semasa Majlis Ihya Ramadhan yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri Selangor) hari ini.

Menurut Datin Paduka Norazlina, “Sejak mula beroperasi, kami di Worldwide Holdings sentiasa memberi keutamaan kepada urusan pembayaran zakat perniagaan dengan niat mendapatkan keberkatan ke atas pendapatan tahunan syarikat, selain memenuhi tanggungjawab wajib dan komitmen Worldwide Holdings sebagai entiti perniagaan tempatan. Di samping menyuburkan dan membersihkan harta perniagaan, kami juga berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak akan membantu pihak LZS merealisasi dan memperkasakan perancangan-perancangan mereka, terutamanya berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi rakyat di Selangor.”

Seperti LZS, Worldwide Holdings komited dalam memenuhi misi pembangunan sosioekonomi rakyat di Selangor menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Worldwide Prihatin’. Antara inisiatif CSR terbaharu Worldwide Holdings ialah sumbangan dana berjumlah RM200,000.00 kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bagi tujuan pembiayaan yuran pengajian dan penyediaan alat bantuan pendidikan untuk para pelajar dari golongan asnaf fakir miskin di bawah naungan YRMS. Worldwide Holdings juga telah menjadi antara penaja bersama Selangor International Book Fair (SIBF 2022) menerusi sumbangan berjumlah RM50,000.00 kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bagi tujuan penganjuran pesta buku tahunan tersebut.

“Selari dengan tema ‘Pendidikan’ yang merupakan antara teras utama program CSR ‘Worldwide Prihatin’, kami berharap inisiatif-inisiatif yang dijayakan hasil kerjasama dengan pihak YRMS serta PPAS, akan mendorong kami untuk terlibat secara lebih aktif lagi dengan usaha-usaha meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat melalui aspek pendidikan, terutamanya di negeri Selangor,’ tambah Datin Paduka Norazlina.

Selain dari kerjasama dengan YRMS dan PPAS, Worldwide Holdings baru-baru ini juga telah membuat sumbangan sejumlah RM20,000.00 kepada badan kebajikan bukan kerajaan (NGO), Islamic Relief Malaysia (IRM) semasa pelancaran program Greenscape Fiesta 2023 anjuran Worldwide Holdings bersempena dengan Hari Landskap Negara. Sumbangan tersebut akan disalurkan ke Tabung Bantuan Gempa Bumi Turkiye-Syria seliaan IRM, di mana dana yang terkumpul akan digunakan untuk usaha-usaha bantuan kecemasan buat penduduk Turkiye dan Syria yang terkesan.

Liputan Akhbar:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1081513/sultan-selangor-berkenan-terima-rm102-juta-zakat-perniagaan

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sultan-selangor-perkenan-terima-zakat-perniagaan-rm10-2-juta-412418

https://www.sinarharian.com.my/article/251274/edisi/selangor-kl/sultan-selangor-perkenan-terima-zakat-perniagaan-rm102-juta

https://www.buletintv3.my/nasional/sultan-selangor-berkenan-terima-zakat-perniagaan-rm10-2-juta/

https://selangorkini.my/2023/03/sultan-selangor-berkenaan-terima-zakat-niaga-lima-syarikat-bernilai-lebih-rm10-juta/

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/03/949483/sultan-selangor-terima-rm102-juta-zakat-perniagaan-metrotv

https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/60132-lima-syarikat-korporat-serah-zakat-perniagaan-rm10-2-juta