Worldwide Holdings Berhad

29 Dec 2022

Worldwide Holdings peruntuk RM400,000 bantu gempur Covid-19


SHAH ALAM – Worldwide Holdings Berhad menerusi inisiatif Worldwide Prihatin memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datin Norazlina Zakaria berkata, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan bekalan produk perubatan yang akan disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan bagi kegunaan sewaktu bertugas.

Menurutnya, baki RM100,000 pula akan disalurkan ke Tabung Khas Covid-19 Selangor.

“Worldwide Holdings Berhad turut mengambil peduli keadaan genting penularan wabak Covid-19 yang kini telah memasuki gelombang kedua.

“Inisiatif ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat Worldwide Prihatin bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani penularan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Covid-19 Selangor yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor semalam disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar Worldwide Holdings Berhad, Rosli Ismail.

Norazlina berkata, inisiatif berkenaan akan diteruskan bagi menzahirkan keprihatinan Worldwide Holdings membantu pasukan barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau dalam pada itu berharap supaya usaha tersebut turut memberi impak dalam menggempur penularan Covid-19 di negara ini.

Sumber:  https://www.sinarharian.com.my/article/76883/KHAS/Koronavirus/Worldwide-Holdings-peruntuk-RM400000-bantu-gempur-Covid-19