Worldwide Holdings Berhad

29 Dec 2022

WORLDWIDE HOLDINGS DAN YAYASAN RAJA MUDA SELANGOR PERKUKUH KERJASAMA CSR


Shah Alam, 24 Ogos 2022 – Worldwide Holdings Berhad (WHB) pada hari ini telah menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM200,000.00 kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS). 

 

Sumbangan tersebut akan digunakan untuk membiayai inisiatif CSR yang akan dilaksanakan oleh YRMS untuk memperkasakan masyarakat yang kurang bernasib baik terutamanya dalam kalangan belia melalui penajaan program dan latihan berasaskan kemahiran, peranti, serta aktiviti khidmat masyarakat dan sumbangan kepada badan-badan kebajikan di negeri Selangor.

 

Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan ialah peningkatan kemahiran teknikal pelajar kurang berkemampuan melalui latihan berasaskan kemahiran di institusi-institusi vokasional seperti Kolej Komuniti dan Akademi Sulam Emas, dan sumbangan peralatan pembelajaran seperti komputer riba dan mesin jahit; Bengkel Penemuan Diri (Self-Discovery Workshop) dan Program Pembangunan Belia Berisiko (Youth-at-Risk Programs) anjuran YRMS; pembaikan dan penyelenggaraan rumah asnaf, dan sumbangan bagi menyokong aktiviti-aktiviti kebajikan lain. Sumbangan itu dijangka memberi manfaat kepada 221 individu dan 8 institusi kebajikan. 

 

“WHB terus komited dalam usaha memperkasakan komuniti melalui inisiatif-inisiatif yang tertumpu kepada pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti dan sosio-ekonomi, gaya hidup sihat serta alam sekitar, yang merupakan tunjang utama program CSR kami. Kami berterima kasih kepada YRMS atas kerjasama padu yang telah terjalin sejak tahun 2008 dan kami akan terus memberi sokongan kepada YRMS untuk pelaksanaan program yang selari dengan tunjang CSR kami, demi kemajuan Selangor dan masyarakat setempat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkenaan sumbangan tersebut. 

 

Replika cek sumbangan telah disampaikan kepada Y.A.D. Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YRMS, dengan disaksikan oleh Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor ketika majlis pelancaran Hari Terbuka TVET YRMS 2022 di Kolej Komuniti Selayang hari ini. 

 

Sejak penubuhannya, antara inisiatif utama CSR WHB di Selangor adalah transformasi Tapak Pelupusan Sanitari Air Hitam kepada Worldwide Landfill Park yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Alam Sekitar di Puchong. Selain itu, WHB turut tidak ketinggalan menyalurkan sumbangan kepada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan masyarakat dan misi-misi kemanusiaan.