Worldwide Holdings Berhad Worldwide Energy

07 Mar 2024

WORLDWIDE HOLDINGS, TNB RENEWABLES JALIN KERJASAMA BANGUNKAN TAMAN SOLAR BERPUSAT DI BERNAM JAYA


Kuala Lumpur, 5 Mac 2024 – Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) telah merasmikan kerjasama mereka berkaitan dengan pembangunan Taman Solar Berpusat (CSP) berkuasa 150 MWp (100 MW AC) di Bernam Jaya, Selangor. Kerjasama tersebut disahkan hari ini menerusi Heads of Terms (HoT) yang ditandatangani oleh Datin Paduka Norazlina Zakaria, CEO Kumpulan WHB, dan Mohd Zarihi bin Mohd Hashim, Pengerusi TNB Renewables Sdn Bhd. (Ketua Pegawai Tenaga Baharu Tenaga Nasional Berhad (TNB)). Upacara tersebut turut dihadiri oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, bersama-sama dengan YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor and YBhg. Datuk Ir. Megat Jalaludin bin Megat Hassan, Presiden and Group Chief Executive Officer of TNB.

Upacara yang disempurnakan sejurus selepas penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Negeri Selangor, TNB, dan WHB, merupakan antara usaha penting dalam memenuhi rangka kerja yang lebih meluas dan mendalam MOU tersebut yang bertujuan meneroka projek-projek tenaga di Selangor.
Projek CSP telah diumumkan oleh Kementerian Ekonomi sebagai salah satu projek andalan dalam Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) pada Julai 2023. Projek solar berskala besar yang dijangka akan dibangunkan di kawasan seluas 410 ekar di Bernam Jaya ini, menghasilkan dan menghantar kuasa solar hijau ke Grid Nasional. Pembangunan melibatkan model pembangunan dan pemilikan bersama dengan Entiti Berkaitan Kerajaan Negeri Selangor, PKS dan Koperasi Bumiputera. Model perniagaan akan dimuktamadkan dengan pihak kerajaan.


Datin Paduka Norazlina Zakaria, CEO Kumpulan yang juga Pengarah Eksekutif Bahagian Tenaga WHB, berkata, "Penglibatan dalam projek CSP yang dicadangkan ini memberi peluang untuk WHB memperluaskan portfolio tenaga kami kepada 2,200 MW DC. Langkah ini juga merupakan antara usaha pihak WHB dalam memenuhi peranan kami sebagai pemain utama Selangor dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB). Selain menjadi lambang kemajuan dan keberkesanan Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kerjasama yang terjalin hari ini turut menjadi bukti komitmen syarikat-syarikat berkaitan pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam mencipta peluang perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif menerusi projek pembangunan, penghasilan, dan pembekalan tenaga yang bersih dan mampan."


Norazlina turut menambah, “WHB berbesar hati untuk berkerjasama dengan TRe, yang terkenal dengan kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan dan pengurusan aset TBB. Pihak kami yakin, penglibatan TRe akan meningkatkan kecekapan pengurusan risiko projek secara signifikan.”


Selaku pembangun utama yang menerajui pembangunan projek, TRe berkolaborasi dengan WHB, sebuah Entiti Berkaitan Kerajaan Negeri (SRE) yang mewakili negeri Selangor untuk meneroka pembangunan projek CSP ini. Penyempurnaan upacara hari ini bukan sahaja menandakan tahap perkembangan usahasama kedua-dua syarikat yang meliputi kerja-kerja pengenalpastian tapak, pembangunan, pembiayaan dan perkara-perkara lain bagi memastikan objektif projek dapat dipenuhi, malahan turut meletakkan Selangor sebagai negeri pertama yang mencapai tahap ini.

TRe dan WHB kini dalam fasa menyelesaikan pemilihan tapak projek dan perkara-perkara berkaitan lain. HoT yang ditandatangani akan menjadi pemudahcara perbincangan terperinci sebelum Perjanjian Sewa Tanah dimuktamadkan. TRe juga sedang giat meneroka peluang potensi kerjasama dalam segmen TBB di Malaysia dan di rantau ini. Inisiatif ini bukan sahaja bakal memacu inovasi, malahan dijangka meningkatkan kapasiti dan keupayaan pihak-pihak terlibat, selain mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.