22 Aug 2023

WORLDWIDE HOLDINGS SAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA YRMS SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-33


SHAH ALAM, 18 Mei 2023 – Worldwide Holdings Berhad (WHB) menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM200,000 kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) pada hari ini di majlis Rumah Terbuka Ceria Aidilfitri WHB sekaligus sambutan ulang tahun WHB yang ke-33 yang berlangsung di Hotel Concorde Shah Alam.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Yusuf bin Tun Syed Nasir disaksikan oleh Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Bin Shari.

Datin Paduka Norazlina berkata, “Kami di Worldwide Holdings juga tidak terkecuali daripada mempraktikkan prinsip ESG (Environmental, Social and Governance) yang kini menjadi trend terbaru dunia perniagaan masa kini. Malah, prinsip Social dalam ESG telah pun kami aplikasikan sejak dulu lagi melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat luar, individu dan juga badan–badan sukarela serta pertubuhan NGO untuk pembangunan komuniti setempat khususnya di negeri Selangor. Kami sangat bertuah kerana usaha murni ini turut mendapat sokongan dari Rakan-Rakan Strategik yang turut berkongsi misi yang sama antaranya Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), Lembaga Zakat Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).”

Peruntukan sebanyak RM200,000 itu akan disalurkan kepada YRMS bagi menyokong pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan terutamanya berkaitan aspek pemerkasaan sosioekonomi dan pendidikan golongan belia serta pelajar yang kurang bernasib baik.

“Selari dengan tema ‘Pendidikan’ dan ‘Sosial’ yang merupakan antara teras utama program CSR ‘Worldwide Prihatin’, kami berharap inisiatif-inisiatif yang dijayakan hasil kerjasama dengan pihak YRMS yang merupakan rakan strategik Worldwide Holdings sejak 17 tahun yang lalu, akan mendorong kami untuk terus terlibat secara lebih aktif lagi dengan usaha-usaha meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat melalui aspek pendidikan, terutamanya di negeri Selangor,” tambah Datin Paduka Norazlina.

Worldwide Holdings baru-baru ini juga telah membuat sumbangan sejumlah RM20,000 kepada badan kebajikan bukan kerajaan (NGO), Islamic Relief Malaysia (IRM) semasa pelancaran program Greenscape Fiesta 2023 anjuran Worldwide Holdings bersempena dengan Hari Landskap Negara. Sumbangan tersebut akan disalurkan ke Tabung Bantuan Gempa Bumi Turkiye-Syria seliaan IRM, di mana dana yang terkumpul telah digunakan untuk usaha-usaha bantuan kecemasan buat penduduk Turkiye dan Syria yang terkesan.