SHAH ALAM, 17 Jun 2023 – Worldwide Holdings Berhad (“Worldwide Holdings”), sebuah konglomerat kerajaan Negeri Selangor menyertai Selangor Mega Job Fair Selangor 2023, sebuah pameran kerjaya anjuran kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan Dan Pembangunan Modal Insan dari 17 hingga 18 Jun 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.
Worldwide Holdings kini memacu beberapa projek berimpak tinggi, antaranya pembangunan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (PIPP) berkapasiti 1,200 MW di Pulau Indah, Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) yang dilengkapi dengan loji Waste-to-Energy (WTE) di Jeram, operasi loji janakuasa gas tapak pelupusan sisa (LFG) di seluruh Selangor, dan projek tenaga boleh baharu (TBB) dari sumber tenaga solar dan hidro (SHP).
Dengan peningkatan dalam aktiviti perniagaannya, Worldwide Holdings kini dalam fasa mengembangkan operasinya dan menawarkan pelbagai jawatan kosong bagi keempat-empat perniagaan terasnya dalam sektor hartanah, alam sekitar, perubatan dan tenaga. Worldwide Holdings berharap agar pameran kerjaya ini akan menjadi platform untuk bertemu dengan calon-calon yang berintegriti, komited terhadap kecemerlangan serta terdorong untuk menjadi sebahagian daripada syarikat yang semakin berkembang.
“Kami teruja untuk menyertai Selangor Mega Job Fair tahun ini untuk bertemu bakat-bakat berprestasi tinggi dari Selangor yang ingin berkembang maju bersama kami, terutamanya dalam sektor-sektor pertumbuhan tinggi yang diceburi syarikat,” kata Datin Paduka Norazlina Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings.
Selain mencari peluang pekerjaan baharu, para pelawat pameran kerjaya ini juga berpeluang bertemu dengan wakil dari Worldwide Holdings dan mengetahui lebih lanjut tentang syarikat dan budaya kerjanya. Selangor Mega Job Fair 2023 akan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 5.30 petang. Pemohon dikehendaki membawa resume terkini dan berpakaian secara profesional.