SHAH ALAM, 23 Mac 2023 – Worldwide Holdings Berhad (“Worldwide Holdings”) kembali menganjurkan program agihan bubur lambuk sempena Ramadan ini selepas tidak dapat dilaksanakan sejak 2020 berikutan pandemik Covid-19. Tradisi tahunan syarikat semenjak 2006 ini turut melibatkan kakitangan Worldwide Holdings bergotong-royong memasak bubur lambuk.
Program pada tahun ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Mufti Selangor, Dato' Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar bin Haji Opir yang turut menyampaikan tazkirah sebelum bermulanya acara pengagihan bubur lambuk kepada kakitangan Worldwide Holdings dan wakil-wakil dari Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan Media Selangor.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria, “Saya bersyukur kerana program agihan bubur lambuk yang kita adakan setiap tahun ini dapat dikembalikan selepas beberapa tahun tidak dapat diadakan kerana mematuhi perintah MCO. Saya harapkan melalui penganjuran kembali program ini, kita dapat mengeratkan silaturahim antara kakitangan Worldwide Holdings dan dengan rakan-rakan usahasama strategik syarikat seperti YRMS dan Media Selangor.”
“Dalam masa yang sama, program ini juga merupakan peluang untuk Worldwide Holdings membuat amal kebajikan ketika bulan Ramadan dengan mengedarkan bubur lambuk kepada golongan asnaf melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE),” tambah Datin Paduka Norazlina.
Selain itu Datin Paduka Norazlina juga berkata di sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini pihak Worldwide Holdings akan meneruskan program Bicara Ilmu yang merupakan sesi tazkirah untuk kakitangan yang disampaikan oleh penceramah-penceramah terkenal tanah air selain mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat.
News coverage: