Worldwide Holdings Berhad

09 Jul 2026

WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD BERJAYA PERTAHANKAN KEJUARAAN BOLING GASPKNS BUAT ENAM TAHUN BERTURUT-TURUT


SUBANG JAYA, 23 Mei 2026 - Semangat kesukanan dan keakraban warga kerja merentasi kumpulan syarikat terserlah pada Kejohanan Boling Tahunan Gabungan Anak Syarikat PKNS (GASPKNS) 2026 yang berlangsung dengan meriah di Pyramid Megalanes baru-baru ini.

Kejohanan edisi kali ini telah menyaksikan persaingan sengit daripada 30 pasukan yang mewakili 10 buah anak syarikat di bawah payung PKNS, termasuklah PECB, PI Briliant Sdn Bhd, Selaman, SIC, Worldwide Holdings Berhad, PKNS FMI, PKNS PREC, Selgate, PKNS Golf Management Services, dan KITA Retail Management.

Mengukuhkan statusnya sebagai kuasa besar sukan boling korporat, pasukan Worldwide Holdings Berhad sekali lagi melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kejohanan Boling Tahunan GASPKNS 2026. Kejayaan mempertahankan takhta kejuaraan ini dicapai menerusi kutipan impresif sebanyak 3,473 jatuhan pin secara keseluruhan, sekali gus menyaksikan Worldwide Holdings Berhad mengekalkan dominasi selaku juara bertahan buat enam tahun berturut-turut sejak tahun 2020.

Selain kejuaraan utama, kecemerlangan Worldwide Holdings Berhad turut disumbangkan oleh pencapaian cemerlang para pemainnya dalam beberapa kategori individu dan kumpulan:

  • Kategori Berpasukan: Pasukan Worldwide A muncul sebagai Johan Kategori Berpasukan dengan mencatatkan jumlah keseluruhan 1,882 jatuhan pin.
  • Kategori Jatuhan Pin Tertinggi (Lelaki): Tempat ketiga berjaya disandang oleh Mohd Zaidi Daud dari pasukan Worldwide A dengan catatan 544 jatuhan pin.
  • Kategori Jatuhan Pin Tertinggi (Wanita): Nur Husna Mohd Zainol yang juga mewakili pasukan Worldwide A merangkul tempat ketiga dengan rekod 367 jatuhan pin.

Penganjuran kejohanan tahunan ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform terbaik dalam memupuk budaya hidup sihat dan kecergasan fizikal, malah ia menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan silaturahim serta jalinan kerjasama strategik yang erat dalam kalangan warga kerja di bawah naungan GASPKNS. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kontinjen boling Worldwide Holdings Berhad atas semangat juang yang tinggi dan pencapaian yang amat membanggakan ini!