SHAH ALAM, 17 Mac 2026 - Memperkukuh penghayatan bulan Ramadan yang mulia, Bahagian Komunikasi Korporat dan Kelestarian Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (WHB) telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran peringkat syarikat yang bertempat di Surau Mercu Worldwide.
Majlis ini merupakan acara kemuncak dan penutup rasmi kepada Program Tadarrus Al-Quran yang telah dikelolakan secara konsisten sejak 1 Ramadan. Majlis penuh keberkatan ini diserikan dengan kehadiran kakitangan syarikat yang merupakan barisan peserta tadarus, serta turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Bagi menyemarakkan lagi majlis, WHB telah mengundang penceramah jemputan, Ustaz Dr. Haji Muhd Hafiz Haneefa bersama para pelajar dari Maahad Kolej Hafiz Klang. Acara yang bermula pada jam 2.00 petang itu telah menyaksikan alunan bacaan ayat suci Al-Quran bagi juzuk ke-30 secara serentak oleh semua peserta, sebelum diakhiri dengan bacaan doa khatam Al-Quran.
Seiring dengan objektif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat, WHB turut mengambil inisiatif proaktif dalam majlis tersebut dengan menyalurkan agihan zakat kepada tabung Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS). Penyerahan sumbangan ini menterjemahkan komitmen berterusan WHB dalam memperkasakan institusi tahfiz tempatan serta menyokong kesejahteraan pendidikan Islam di negeri Selangor.