SHAH ALAM, 29 Mei 2026 - Semangat perpaduan dan nilai murni menyantuni masyarakat diterjemahkan oleh Kelab Sukan & Rekreasi Worldwide Holdings Berhad menerusi penganjuran Program Ibadah Korban bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha. Program yang melibatkan penyertaan aktif warga kerja syarikat ini telah dilaksanakan dengan jayanya di pekarangan Mercu Worldwide.
Majlis penuh keberkatan ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, YBhg. Datin Paduka Norazlina Zakaria, yang meluangkan masa untuk beramah mesra bersama kakitangan. Selesai aktiviti gotong-royong melapah, para hadirin telah bersama-sama menikmati hidangan tradisi seperti sup dan kari daging segar yang dimasak secara rewang bagi menyemarakkan lagi suasana ukhuwah.
Selaras dengan komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam membantu golongan yang memerlukan, sebahagian besar daging korban tersebut telah diagihkan secara telus kepada beberapa komuniti sasaran, termasuk:
- Kariah Masjid Nurul Huda: Agihan diserahkan menerusi wakil asnaf kawasan berkenaan.
- Komuniti PPRT: Sumbangan disalurkan terus kepada golongan asnaf fakir miskin di PPRT Lembah Subang 2 dan PPRT Hicom, Shah Alam.
- Lembaga Zakat Selangor (LZS): Kerjasama strategik bersama wakil LZS bagi menyelaraskan pengagihan daging korban kepada golongan asnaf fakir miskin di PPR Taman Medan.
Selain komuniti luar, warga kerja Worldwide Holdings Berhad yang bersama-sama menjayakan program ini turut menerima edaran daging korban tersebut. Penganjuran inisiatif ini bukan sahaja memenuhi tuntutan syiar Islam, malah menjadi platform terbaik dalam memperkukuh semangat kerja berpasukan di kalangan kakitangan di samping menyumbang bakti kepada kesejahteraan masyarakat setempat.